recent
Terkini | تركيني

Pengorbanan Ibu Bapa Suatu Sedekah

Laman utama

Peranan seorang ayah bukan hanya sekadar membesarkan anak-anak dengan memberikan ilmu dunia akhirat bahkan perlu mencari nafkah yang halal dan bersih demi untuk sesuap nasi anak-anaknya.

Islam meletakkan bahawa setiap sen yang dibelanjakan oleh seorang bapa untuk ahli keluarganya adalah sedekah. Mencari nafkah untuk keluarga adalah sedekah. Bahkan setiap perbuatan baik adalah sedekah. Sedekah menurut Kitab I'aanatul Taalibin juzuk yang ketiga, bererti "sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada seseorang lain yang memerlukannya dengan tidak mengharapkan balasan pahala atau mengharapkan balasan pahala di akhirat".

Allah SWT mewajibkan para bapa memberi nafkah (sedekah wajib) berupa makanan dan pakaian kepada isteri dan anak-anaknya atas kadar kemampuan dan keperluan mereka untuk meneruskan kehidupan di dunia ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 233 :

 وَٱلْوَٰلِدَٰتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَـٰدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى ٱلْمَوْلُودِ لَهُۥ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ 

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya"

Justeru, para ibu bapa hendaklah sedaya upaya cuba mengikhlaskan diri dalam setiap pengorbanan sama ada berupa wang ringgit mahupun tenaga dalam menguruskan anak-anak mereka. Ibu bapa tidak sewajarnya mengungkit-ungkit segala pemberian dan perbelanjaan yang telah dikeluarkan dalam menguruskan kehidupan anak-anak sejak kecil hingga mereka dewasa. Ini kerana perbuatan tersebut hukumnya haram dan boleh merosakkan amalan yang telah dilaksanakan.

Allah SWT telah memberikan amaran yang jelas dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 264 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُبْطِلُوا۟ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلْمَنِّ وَٱلْأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌۭ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٌۭ فَتَرَكَهُۥ صَلْدًۭا ۖ لَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَىْءٍۢ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٢٦٤

"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala amalan sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir"

Menyulusuri sirah Rasulullah SAW, baginda SAW tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak-anak baginda biarpun yang sudah berumahtangga. Rasulullah SAW sentiasa mengunjungi rumah Saidatina Fatimah Az-Zahra' dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk.

Perlu diingatkan bahawa, para ibu bapa sepatutnya berusaha sedaya upaya mencari sumber pendapatan yang halal dalam memberi nafkah kepada anggota keluarga. Jauhilah dan hindarilah daripada memperolehi sumber pendapatan yang haram dan syubhah. 

Marilah kita hayati dan contohi kisah Khalifah Umar Abdul Aziz, dalam hal memberi nafkah kepada anggota keluarga. Pada suatu hari dua orang anak perempuan Khalifah Umar Abdul Aziz datang bertemu dengan baginda. Tujuan mereka ialah untuk meminta ayahanda mereka membeli baju raya yang baru kepada mereka. Maka jawab Khalifah Umar Abdul Aziz, wahai anak-anakku, sekiranya ayahanda mempunyai lebihan dari gaji nanti ayahanda akan belikan. Tetapi sekiranya tiada, usahlah bersedih, pakailah dengan taqwa yang baru itulah yang sebenarnya. Sesungguhnya perbualan antara bapa dengan anak ini telah didengari oleh penjaga Baitulmal. Lalu beliau berkata, "Wahai Amirul Mukminin, saya sedia pinjamkan wang Baitulmal untuk khalifah belikan baju raya baru untuk anak tuan". Maka jawab Khalifah Umar Abdul Aziz, "Apakah jaminan kamu yang aku akan hidup sehingga esok untuk melunaskan hutang ini?" Lalu terdiam penjaga Baitulmal tersebut.

Subhanallah, betapa hebatnya ungkapan yang keluar dari bibir mulut seorang khalifah yang menyentuh hati kita semua. Seorang khalifah yang mengutamakan soal halal dan haram dalam memberi nafkah kepada keluarga tercinta. Seorang pemimpin terulung yang amat menjaga hasil pendapatannya, takut dan bimbang termakan duit rakyat untuk kepentingan diri sendiri. Seorang pemimpin yang tidak mengambil kesempatan semasa baginda memegang tampuk pemerintahan Negara. Begitu juga hebatnya anak-anak baginda yang amat memahami perasaan seorang ayah, yang merasai jawatan yang dipegangnya adalah suatu amanah dan akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Justeru itu, marilah kita bersama pastikan setiap pendapatan yang kita perolehi adalah daripada sumber yang halal lagi baik (Halalan Toyyiban). Lebih-lebih lagi sekiranya ianya berbentuk makanan yang akan disuap ke dalam mulut anak-anak dan akan menjadi darah daging mereka buat selama-lamanya. Nabi SAW mengingatkan kita agar berwaspada daripada memakan makanan yang haram kerana kesannya amat berat untuk ditanggung manusia, sebagaimana sabda Nabi SAW :

"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan".

Sudah menjadi fitrah ibu dan bapa pasti berusaha untuk melunaskan tanggungjawab yang terbaik untuk anak-anak mereka mengikut kemampuan masing-masing. Orang kaya dengan cara tersendiri, begitu juga dengan golongan yang kurang berupaya. Mereka akan sentiasa bertanggungjawab atas amanah yang diletakkan di atas bahu sejak hari pertama kelahiran anaknya.

Begitulah fitrah ibu bapa yang amat menyayangi anak-anak mereka. Segalanya diusahakan demi untuk memastikan anak-anak mereka mendapat hak yang sepatutnya. Semuanya menjadi sedekah dan jariah yang berterusan bagi mereka diakhirat kelak. Setiap titik peluh mereka adalah jihad dan diganjarkan dengan pahala yang berlipat ganda.

google-playkhamsatmostaqltradent