recent
Terkini | تركيني

Insan Dambaan Syurga

Laman utama

Hakikat perjalanan hidup seorang mukmin ialah menjadi hamba Allah yang taat dan melaksanakan segala perintah Allah di samping menjauhi larangan dan tegahan Allah demi mencari keredhaanNya di sepanjang hayat. Keredhaan Allah akan membawa mukmin itu mendapat balasan yang sempurna selayak amalannya iaitu menduduki syurga Allah SWT di akhirat kelak.

Syurga diibaratkan sebagai suatu tempat yang penuh dengan kenikmatan yang abadi. Di dalamnya terdapat segala sesuatu yang tidak pernah dipandang oleh mata, didengar telinga dan dirasakan oleh hati. Kenikmatannya merupakan impian setiap orang bahkan menjadi tujuan asas perjuangan kehidupan di dunia ini. Meskipun begitu untuk menjadi penghuni syurga tidak semudah yang disangkakan. Begitu luas dan besar cabaran yang mesti ditempuhi, termasuk bermujahadah dengan nafsu di samping meninggalkan segala yang dilarang Allah dan melaksanakan segala suruhanNya.

Di dalam Al-Quran Allah menyebutkan beberapa golongan yang layak menjadi penghuni syurganya di akhirat kelak iaitu :

Pertama : Para Nabi dan Rasul, orang-orang jujur, syuhada dan juga solihin. Ini disebutkan oleh Allah di dalam A-Quran menerusi surah An-Nisa ayat 69 :

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّـٰلِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُو۟لَـٰٓئِكَ رَفِيقًۭا ٦٩

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)"

Kedua : Golongan al-Abrar iaitu (orang-orang yang berbuat baik). Allah berfirman tentang golongan ini menerusi Surah al-Muthaffifin ayat 22 :

إِنَّ ٱلْأَبْرَارَ لَفِى نَعِيمٍ ٢٢

"Sesungguhnya orang yang berbakti (al-abrar) itu benar-benar berada dalam kenikmatan yang besar (syurga)"

Ketiga : Ashabul Yamin iaitu orang-orang yang nantinya menerima buku catatan amalannya dari sebelah kanan. Disebutkan di dalam Al-Quran surah Al-Waqiah, ayat 27-28 :

وَأَصْحَـٰبُ ٱلْيَمِينِ مَآ أَصْحَـٰبُ ٱلْيَمِينِ ٢٧ فِى سِدْرٍۢ مَّخْضُودٍۢ ٢٨

"Dan puak kanan, alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri"

Keempat : As-Sobirun. Disebutkan juga di dalam Al-Quran surah Ar-Ra’d ayat 23-24 :

جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ ءَابَآئِهِمْ وَأَزْوَٰجِهِمْ وَذُرِّيَّـٰتِهِمْ ۖ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍۢ ٢٣ سَلَـٰمٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى ٱلدَّارِ ٢٤

"(yaitu) syurga-syurga ‘Adn, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang yang solih dari nenek moyangnya, pasangan-pasangannya, dan anak cucunya, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; kalau golongan orang yang selalu sabar (Ash-Shabirun) merupakan golongan orang penghuni syurga"

Kelima : Al–Muttaqun, mereka adalah golongan yang selalu bertaqwa kepada Allah SWT disebutkan dalam firmanNya di surah Maryam, ayat ke 63 :

تِلْكَ ٱلْجَنَّةُ ٱلَّتِى نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّۭا ٦٣

"Itulah syurga yang akan kami wariskan kepada hamba-hamba kami yang selalu bertaqwa"

Keenam : At-Taaibun iaitu orang-orang yang bertaubat disebut dengan At-taaibun. Allah SWT merupakan zat yang Maha Pengampun dan juga Maha Pengasih. Dan sangat senang jika seorang hamba selalu bertaubat setelah melakukan kesalahan. Allah SWT berfirman dalam surah Maryam ayat 60 :

إِلَّا مَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْـًۭٔا ٦٠

"Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal Saleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (di rugikan) sedikitpun"

Al-Abrar ertinya mana-mana orang atau golongan yang suka melakukan kebaikan dan mentaati suruhan Allah SWT, dan beramal dengan sunnah Nabinya, sama ada ketika susah dan senang, ketika suka dan duka, juga ketika dimulia dan dihina oleh orang di sekelilingnya. Tidak memilih kebaikan itu walaupun perkara-perkara kecil apatah perkara-perkara kebaikan yang besar, di samping memelihara diri dari melakukan maksiat walaupun pada perkara yang kecil, apatah lagi maksiat yang tergolong dalam dosa besar.

Ciri-ciri golongan Al-Abrar sebagaimana termaktub di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 177, ialah :

  1. Beriman kepada Allah dengan keimanan yang hakiki, mempercayai dan mengiktikadkan bahawa Allah sahaja Tuhan yang berhak didambakan kasih sayang dan perhamabaan diri.
  2. Mendirikan solat, menunaikan zakat; menginfaq harta yang dimiliki kepada kaum kerabat dan kepada sesiapa yang berhak menerimanya;
  3. Menepati janji bila ia berjanji; dan sabar dalam kesempitan, penderitaan dan ujian dalam hidup yang Allah kenakan kepada kita.
  4. Belas kasihan kepada sesama manusia, mengambil tahu terhadap masaalah yang dihadapi oleh ummahnya.

Allah SWT berjanji terhadap golongan mukmin yang Abrar dengan ganjaran pahala dan syurga yang tiada tandingannya. Di dalam Al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 198 :

لَـٰكِنِ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ رَبَّهُمْ لَهُمْ جَنَّـٰتٌۭ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا نُزُلًۭا مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ ۗ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيْرٌۭ لِّلْأَبْرَارِ ١٩٨

"Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan yakni golongan abrar)"

Sebagai kesimpulannya, marilah kita berusaha menempatkan diri kita agar tergolong dari mana-mana golongan yang menjadi dambaan syurga. Sedarlah bahawa, kita adalah berasal dari keturunan penghuni syurga iaitu Nabi Adam dan isterinya Hawa yang merupakan penghuni syurga. Kita dikeluarkan oleh Allah demi kerana Allah melantik kita menjadi khalifah di bumi yang sementara ini, ayuhlah kita berusaha dengan sedaya upaya kita agar dapat pulang ke tempat asal kita di sana dengan usaha yang benar-benar tulus dan suci menjadi hamba-hamba Allah yang abrar.

Ingatlah! Syurga itu bukan percuma. Tetapi, percayalah orang paling miskin dalam dunia ini pun boleh membeli syurga kerana harganya bukanlah dibayar dengan harta tetapi dengan taqwa.

google-playkhamsatmostaqltradent